SESUNGGUHNYA
ALLAH MENYAYANGIMU
Sejak
akhir-akhir ini, seorang teman rapat pernah mengadu kepada saya, mengapa
dirinya tidak habis-habis ditimpa musibah dan masalah yang cukup berat didalam
kehidupan beliau.
Memang hidup
ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian. Apa yang boleh saya
katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin sesungguhnya setiap cabaran
dan ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kita.
Berdasarkan
dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami bahawa setiap
kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah
memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu
BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.
Ibnu Qayyim
dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan
pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang
kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.
Apa yang
penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt. Setiap orang yang
beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa
kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.
Sebagaimana
yang diriwayatkan dari sebuah hadis,
Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya
kepada Rasulullah saw., Siapakah orang yang paling berat cubaannya ?
Jawab baginda, Di antara
orang-orang yang paling berat cubaannya
ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu
diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya,
maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan
diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang
hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan
padanya.
(Riwayat
Tirmizi)
Setiap kali
diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu
pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang. Pelbagai ujian dan dugaan
yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan
juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya
menempuhnya dengan penuh kesabaran.
Imam Ghazali
ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub,Sesungguhnya bala
merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang
mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat
manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.
Selain
bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu
adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad Da
Wad Dawaa, Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat
menghilangkannya. Ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan
segala bentuk musibah yang datang.
Sesungguhnya
berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang
diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin
Abi Talib ra., sabda Rasulullah saw,
Doa adalah senjata orang mukmin,
tiang agama dan cahaya langit serta bumi.
Akhir
sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah saw dibawah
yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit
boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan
kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.
Janji Allah
dalam sabda Rasulullah saw,
Tiada seorang Muslim pun yang
ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan
kerananya Allah akan menghapuskan keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang
menggugurkan daun-daunnya.
(Hadis
Riwayat Bukhari)
Semoga kita
semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu di dalam menghadapi
apa saja bentuk ujian yang mendatang.
PERCAYALAH
sesungguhnya Allah menyayangimu



Tidak ada komentar:
Posting Komentar