MENYELAMI
ALAM CIPTAAN TUHAN
Susunan: Mohd
Zamir bin Bahall
|
Pendahuluan
Kita
sememangnya yakin alam yang maha luas dan besar ini bukanlah terjadi dengan
sendirinya. Mustahil sesuatu itu terjadi dengan sendirinya melainkan ada yang
menciptanya. Dan pencipta alam seluruhnya ini ialah ALLAH Tuhan bagi mereka
yang bertaqwa.
Kita
meyakini bahawa Allah s.w.t. bukan sahaja semata-mata mencipta bahkan
mengatur pula perjalanan alam seluruhnya. Allah lah yang memutarkan bumi dan
bulan pada paksi dan orbitnya,
menjadikan matahari bersinar, bulan bercahaya dan sebagainya. Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah:
Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah
yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang
mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang
hidup, siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab:
Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?
(Yunus : 31)
PERLINDUNGAN ALLAH
Allah s.w.t. bukan
sahaja mencipta dan mengatur alam sahaja, malah melindunginya juga. Tanpa
perlindungan-Nya maka alam tidak mungkin dapat bertahan selama berjuta abad
sebagaimana yang kita dapat saksikan pada hari ini. Tanpa perlindungan Allah,
tidak mungkin ada kehidupan di atas muka bumi ini.
Untuk mengetahui
betapa hebatnya perlindungan Allah maka mari kita perhatikan perkara berikut:
Putaran bumi
Kita
semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas paksinya
dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak berputar,
mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.
Dari
putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang menghadap
matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan matahari
akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu bahagian
yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat
dan begitulah sebaliknya.
Apakah
yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah pasti keadaan
udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke minit dan dari jam ke jam akan menjadi bertambah
panas. Dalam tempoh 100 jam sahaja udara akan mencapai takat didih 100ºC
sehingga lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya akan mendidih dan
menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya seluruh
sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga darah yang mengalir
di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada
satu pun makhluk yang dapat hidup. Semuanya akan mati dan musnah menjadi
debu-debu yang berterbangan.
Apa
pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Bukan sahaja
semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada benda-benda
pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat panas. Ketika
itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi ini sendiri
akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.
Kemudian
apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus menerus
sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat dan seterusnya dari
jam ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja
akan mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku
menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan
binatang-binatang masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan
Selatan. Namun begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000
jam berikutnya? Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka
sudah pasti akan lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.
Kedua-dua
ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat betapa hebatnya
kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk kehidupan
setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran
yang sempurna. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakan pula,
bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai
hari kiamat? Siapakah selain Allah yang akan mendatang malam kepadamu yang
kamu dapat beristirehat padanya? Maka
apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana rahmatnya-Nya, Dia jadikan
untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada malam itu dan supaya
kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu
bersyukur kepada-Nya.
(Al-Qasas: 72-73)
Dengan adanya putaran
bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan bumi ini menjadi seimbang
dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu dingin. Sehingga
manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan selesa di
permukaan bumi ini.
Ya... semamangnya
kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang dapat memutarkan bumi
sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan beratnya
beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini hendaklah kita fikirkan
sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima
kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang
seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga,
mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.
Peredaran Bumi Mengelilingi
Matahari
Selain
daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi matahari
dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara bumi
dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama 365¼
hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.
Semasa
beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya dalam
berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh dari garisan
khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim
panas ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk.
Sebagai akibat daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis
tumbuhan dan buah-buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah
yang amat besar kepada seluruh kehidupan di muka bumi.
Begitulah
keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa henti-henti
sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
... Dan engkau lihat
bumi ini kering tetapi setelah kami turunkan air (hujan) padanya, ia menjadi
lembut dan subur dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang
cantik dan lazat.
(Al-Hajj: 5)
Firmannya lagi
yang bermaksud:
Dan kami hamparkan
bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh dan kami
tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata.
(Qaaf: 7)
Jarak Di Antara Bumi Dengan
Planet-Planet Lain
Kita
sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan semamangnya
telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-Quran bahawa jika jarak
itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat dahsyat di
bumi.
Sekiranya
bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang dari jarak yang sedia
ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan bencana-bencana
alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan planet-planet
lain, sekiranya terkeluar sedikit dari orbitnya sama ada terlebih atau
terkurang nescaya akan berlanggaran antara satu sama lain.
Jarak
tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di tengah-tengah angkasa
raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan perlindungan-Nya yang sangat
besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh kehidupan di muka bumi. Lebih-lebih
lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini harus kita
renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran semata-mata untuk
perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal makan, pakaian,
perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan keupayaan sebenar akal
yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam ciptaan-Nya seterusnya
mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada kebesaran Allah s.w.t.
Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang sentiasa bertunjangkan
ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah memberi
faedah yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada kebahagiaan
hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan. Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
Ketahuilah bahawa
sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang
melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga
tentang banyaknya harta dan anak... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah
kesenangan yang menipu.
(Al-Hadid : 20)
Jika kita renungkan
sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan palnet itu bebas bergerak di
angkasa raya, bergerak dan berputar dari abad ke abad, masing-masing tetap
pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya kukuasaan Allah
s.w.t. dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak berlanggaran. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
Matahari
berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah
Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami tentukan baginya tempat yang
tertentu sehingga ia kembali berbentuk seperti pelepah kurma yang kering
(bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati bulan dan tidak pula malam
mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis edarannya (orbit).
(Yassin : 38-40)
Air Laut Yang Masin
Hampir ¾ bumi ini
diliputi air. Di mana 97% daripadanya merupakan samudera yang luas dipenuhi
air dengan rasanya yang masin. Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan
bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika
sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan
bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan
menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? Kita tidak mampu
menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.
Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.
Terciptanya air yang
masin ini akan menjadi bukti betapa Allah s.w.t. melindungi segala kehidupan
di permukaan bumi ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan Dialah yang
membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan
laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan diantara kedua-duanya dinding dan
batas yang menghalangi.
(Al-Furqan : 53)
Laut (air) tawar yang
dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik
dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak
bercampur dengan air masin. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Maka terangkanlah
kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan
ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya
masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?
(Al-Waqiah: 68-70)
Andainya perlindungan
Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya kita selidiki, kaji, ulas dan bahas maka
sudah pasti ianya tidak akan tamat malahan jika ditulis ia akan menjadi
jilidan buku yang tebalnya melebihi tinggi langit dan bumi.
Manusia yang celik
mata hatinya dan peka pancainderanya akan mengakui bahawa walau secerdik mana
manusia dan setinggi mana ilmu pengetahuannya, mereka tetap tidak mampu
menlindungi diri mereka sendiri tanpa bantuan dan perlindungan Allah,
lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan bencana alam seperti letupan
gunung berapi, taufan, ombak besar (tsunami), gempa bumi dan banyak lagi Maha
Suci Allah betapa kerdilnya manusia
dan betapa perkasanya Engkau.
KETERBATASAN ILMU MANUSIA
Bagaimana hebatnya
ilmu pengetahuan yang telah dicapai dan yang akan dicapai oleh manusia, namun
ianya masih sedikit sekali jika dibandingkan dengan besar dan luasnya alam
semesta yang masih belum banyak diketahui dan diterokai oleh manusia. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan tidaklah kamu diberi ilmu
pengetahuan kecuali sedikit.
(Al-Isra :85)
Tidak perlu kita
perhatikan terlalu jauh, cukup dalam diri kita sendiri. Ada sesetengah pihak
yang mengkaji tentang nyawa tetapi sehingga sekarang masih belum juga ditemui
apakah hakikat nyawa itu. Bagaimana bentuk dan rupanya? Adakah ia seperti air, udara atau... hanya Allah
sahaja Yang Maha Mengetahui. Sedangkan tentang diri sendiri pun banyak lagi
yang kita tidak ketahui, inikan pula tentang bumi, planet-planet dan ruang
angkasa, sekalipun ilmu pengetahuan manusia pada zaman teknologi maklumat ini
lebih maju dan terkehadapan berbanding ilmu pengetahuan di zaman silam.
Apabila kita melihat
langit, kita dapati ia kelihatan begitu dekat seolah-olah beberapa kilometer
sahaja. Akan tetapi setelah ada manusia naik ke bulan maka didapatinya langit
itu masih juga jauh. Sehinggakan planet yang terjatuh dari kelompok matahari
iaitu Pluto, di sana juga masih terdapat langit. Ya... betapa luasnya alam
maya ciptaan Tuhan.
Sejauhmana tinggi
sekalipun ilmu pengetahuan seseorang namun ia tidak mampu menerangkan atau
akalnya tidak memahami bagaimana sebenarnya rahsia perkembangan sebuah sel
yang begitu halus yang bercantum sehingga menjadi makhluk berbentuk manusia,
binatang atau tumbuhan. Ilmu yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah sangat sedikit diibaratkan
jika kita ambil sebatang jarum lalu kita celupkan ke dalam laut lantas
diangkat semula maka air yang terlekat di jarum itulah umpamanya pengetahuan
manusia, sedangkan air laut yang masih tinggal di samudera luas adalah umpama
luasnya pengetahuan Allah.
Bagi mengelakkan hati
kita daripada mati, mata daripada buta dan telinga daripada tuli maka marilah
kita menyelami alam semesta ciptaan Tuhan supaya kita tergolong ke dalam
golongan yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
Allah telah mengunci mati hati
dan pendengaran mereka (dari petunjuk dan nasihat), dan penglihatan mereka
ditutup (daripada mendapat pengajaran dari al-Quran dan alam semesta). Dan
bagi mereka seksa yang amat berat.
(Al-Baqarah : 7)
Seluruh alam yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah terdiri
dari kelompok matahari kerana mataharilah yang menjadi induk dan terpenting.
Marilah kita renungkan saban hari apabila sang suria memancarkan sinarnya,
alam semesta akan menjadi terang benderang. Apabila sang suria beradu di ufuk
barat, pada mulanya cahaya kelihatan samar-samar kemudian seluruh alam gelap
gelita. Apabila malam terus merangkak, sang bulan pula muncul dan bercahaya
dengan dihiasi bintang-bintang yang berkelipan, namun ia tetap tidak dapat
menyamai siang yang terangnya diberikan oleh matahari.
Apabila kita pada suatu malam berkunjung ke tepi pantai dengan langit
yang cerah dan melihat ke lautan yang luas, kita akan dapat menyaksikan
sendiri betapa hebat dan luasnya alam semesta raya ini. Lautan terdampar luas
di hadapan kita dengan riak dan gelombangnya yang tidak pernah membosankan,
sedang di angkasa raya bertaburan berjuta-juta bintang kecil dan besar dengan
sinarnya yang berkedip-kedipan sampai ke mata kita. Ketika dan saat itu, kita
dapat rasakan betapa tenangnya jiwa dan perasaan kita tambahan pula diiringi
oleh hembusan bayu malam yang dingin. Tiada seorang pun yang tidak merasai
kagum dan terpesona melihat keindahan alam di waktu malam yang indah dan
permai itu.
Apabila kita melihat ke angkasa dengan kasar, kita hanya dapat
menyaksikan sebahagian kecil sahaja alam semesta kerana keupayaan mata kita
terbatas. Apabila kita memandang ke angkasa raya dengan menggunakan teleskop
maka kita akan menjadi lebih kagum. Angkasa raya terbukti seribu kali lebih
hebat dari apa yang dapat kita saksikan dengan mata kasar.
Sememangnya kita sebagai manusia haruslah memikirkan kejadian dan
keadaan alam cakerawala yang maha luas ini. Sudah pasti manusia yang merasa
kagum terhadap kehebatan dan keluasan alam semesta ini, akan merasai lebih
kagum lagi tentang kebesaran Allah yang menciptakannya. Jika masih ada lagi
manusia yang kagum dengan alam semesta tetapi tidak kagum langsung terhadap
penciptanya maka itulah manusia yang disifatkan Allah lebih hina daripada
haiwan lantaran mensia-siakan akal fikiran kurniaan Tuhan.
Ini baru setakat perbicaraan tentang luas dan jarak planet di antara
planet-planet yang lain, belum lagi membicarakan susunan dan peredaran
bintang-bintang di angkasa raya. Sekiranya kita benar-benar mengkaji dan
menyelidik kemudian mencatatkan segalanya tanpa tertinggal walau satu pun
nescaya tidak akan cukup samudera yang luas pada pandangan kita ini sebagai
dakwat dan tidak cukup seluruh ranting dan dahan kayu untuk dijadikan pena.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah: Sekiranya lautan
menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat (ilmu) Tuhanku, maka akan
habislah lautan ini sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun
Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
(Al-Kahfi: 109)
Jika di bandingkan dengan alam cakerawala yang maha luas ini, bumi
adalah ibarat debu yang halus sahaja. Jika bumi merupakan debu, maka air laut
yang ada di muka bumi ini hanyalah berupa ¾ debu, tentu sahaja tidak cukup
untuk mencatat alam semesta yang luas dan banyak itu. Inilah kekaguman
terhadap kehebatan dan luasnya alam semesta ciptaan Tuhan yang tidak dapat
dinafikan oleh setiap manusia yang mempunyai akal.
Manusia yang merupakan satu unit daripada alam semesta ini tidak
kurang juga keajaibannya tersendiri. Jika kita mengkaji sel-sel dalam tubuh
badan manusia seperti kromosom maka kita akan dapati bahawa di dalam kromosom
terdapat pula gen yang tersangat halus yang akan membawa perwarisan sesuatu
keturunan kepada generasi yang akan datang. Untuk melihat sel ini kita perlu
menggunakan mikroskop atau mikroskop elektron. Cuba anda bayangkan betapa
telitinya Allah s.w.t. mengatur segala kejadian di alam ini. Kesemuanya ini
menimbulkan kehairanan dan pertanyaan kepada setiap sarjana-sarjana sains.
Apakah yang sebenarnya ada di sebalik keanehan dan keajaiban itu? Mungkinkah
keanehan itu sendiri yang melahirkan keanehan tersebut? Walau apa sekalipun,
pasti ada pencipta segala keanehan itu. Ya... sudah pasti. Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
Dan di bumi itu terdapat
tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada
dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
(Az-Zariyat: 20-21)
Cuba kita perhatikan bakteria pula. Bukan sahaja ia merupakan makhluk
yang sangat halus, malahan mempunyai pelbagai bentuk pula. Ada yang berbentuk
bulat (coccus), ada yang leper (becillus), ada yang panjang (spirillium) dan
bermacam-macam lagi, hanya orang-orang yang mengkaji sahaja yang mengetahui.
Rasanya jika ahli-ahli sains itu insaf terhadap kejadian-kejadian seumpama
ini, maka tentunya mereka akan beriman dan iman mereka pasti lebih kukuh
terhadap Allah s.w.t. berbanding orang lain.
KEJADIAN MANUSIA ADALAH NIKMAT
Lazimnya, sesudah
memikirkan segala kejadian alam semesta dan keagungan Allah yang
menciptakannya, akhirnya kita akan kembali memikirkan kejadian diri kita
sendiri. Kita tercipta daripada ibu bapa kita dan sekiranya ibu bapa tiada
atau salah seorangnya tiada, tentu sahaja kita tidak mungkin dilahirkan ke
dunia ini.
Cuba kita renung dan
fikirkan, bagaimana kiranya kita tidak ada, tidak pernah ada, tidak tertulis
di Loh Mahfuz atau tidak pernah dilahirkan ke dunia. Jika tidak mencipta kita
sudah pasti kita tidak ada. Jika kita tidak ada, sudah tentu kita tidak
mengetahui adanya alam semesta yang luas ini. Tentu kita tidak kenal matahari
dan bulan, tidak kenal manisnya gula, lazatnya makanan dan hidangan. Kita
juga tentunya tidak dapat merasakan indahnya rasa kasih sayang, cinta dan tentunya
saat-saat bahagia tidak mungkin kita rasai.
Syukur,
alhamdulillah, kini kita telah ada dan wujud. Kita sudah dapat menyaksikan
keindahan alam maya, dapat melihat pelbagai warna dan pemandangan, melihat
sang suria, bulan dan bintang-bintang yang menghiasai segala ruang angkasa.
Kita sudah dapat menikmati pelbagai makanan dan hidangan yang lazat dan enak.
Kita juga telah dapat merasai betapa indahnya belaian kasih sayang, cinta dan
saat-saat kebahagiaan. Seterusnya kita dapat mengenali siapa pencipta kepada
semuanya ini termasuk alam yang maha luas ini. Lalu kita dapat menikmati
kasih dan sayang-Nya serta bernaung di bawah lindungan dan rahmat-Nya. Inilah
sebenarnya nikmat terbesar yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kita
seharusnya menggandakan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah
kerana bukan sahaja telah menjadikan kita, bahkan telah memilih kita menjadi
umat-nya yang beriman dan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya. Sehingga kita
dapat mengenali Pencipta kepada alam semesta ini yang begitu indah dan teliti
sekali.
KESIMPULAN
Oleh itu, kita
sebagai insan yang telah diberi panduan hidup iaitu ajaran Islam yang
berasaskan al-Quran dan sunnah, haruslah memikirkan dengan sedalam-dalamnya
di dalam hati dan sanubari kita tentang kekuasaan Allah dan sifat Maha
Pemurah Lagi Maha Penyayang-Nya yang amat luas ini. Kita hendaklah selalu
mengingati dan berterima kasih kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
Dan
terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan
bersyukur).
(Ad-Dhuha:11)
Janganlah kita termasuk di dalam golongan mereka yang lalai dan
langsung tidak bersyukur kepada Penciptanya yang Maha Agung. Segala pujian
hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Dari Allah kita datang dan kepadanya-Nya
jua kita kembali.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar