DOSA
MEROSAKKAN HATI
Banyak
melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik
dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
yang bermaksud:- "(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik
dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa yang disukai oleh
hawa nafsunya".
Orang yang banyak melakukan dosa
semakin renggang hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain. Ini kerana
apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah, ia dekat kepadaNya. Orang
yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai
perkara kecil. Dalam hal ini, Ibnu Masud berkata:- "Sesungguhnya seorang
mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan
menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa
itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya". Dosa yang
dilakukan itu akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat melahirkan
kemuliaan kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya:
"Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu
kepunyaan Allah jua". Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya,
manakala mereka yang taat lapang dadanya.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat nescaya Allah memberi
kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah hendak
menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia
memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)". Dosa boleh menggelapkan
hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya. Ibnu Abbas berkata:-
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki,
kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula
boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan
makhluk lain mengutuknya".
Dosa boleh menghalang seseorang itu
daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam
Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas
beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati
kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan
maksiat". Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan.
Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun
malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan
kamu (daripada ibadat di waktu malam)". Oleh yang demikian, hampirilah
kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang
boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.


Tidak ada komentar:
Posting Komentar